Aku, Kau dan Dia. Cinta? Part 2

       Alysha Zara berjalan dengan pantas menuju ke arah kawasan parkir kolejnya. Kelihatan skuter gadis tersebut berada di hujung penglihatannya. Jam di tangannya sudah menunjukkan jam 4.35 petang. Gadis itu risau jika dia terlewat. Dia tidak mahu dimarahi lagi.

            Pinn!! Hon kereta kedengaran kuat. Terkejut gadis berkenaan. Nasib baiklah dia tidak dilanggar oleh kereta berwarna merah di hadapannya itu. Nafasnya turun naik. Pemandu kenderaan mewah tersebut keluar dari kenderaan, segera melihat keadaan keretanya. Alysha menepuk dahinya. Pemuda yang bertembung dengannya pada pagi tadi kini ada di hadapan matanya, sekali lagi. Gadis itu mengeluh berat. Perlahan-lahan dia segera melangkah, mahu beredar sebelum dia dicam oleh pemuda tersebut.

            “Woi! Berhenti kau dekat situ!” Panggil pemuda tersebut. Alysha menarik nafas panjang. Busted!
Si gadis segera membelakangi pemuda itu, berharap benar agar pemuda itu tidak mengingatinya. Syed Zarieq Deazry mengecilkan matanya, memandang gerangan yang menghalang laluannya dan membuatkan dia nyaris terbabas. Disuruhnya gadis tersebut berpusing agar dia dapat melihatnya. Alysha menoleh setelah dipaksa Zarieq. Gadis itu tersengih. Terdetik sedikit kerisauan di hatinya.

            “Kau lagi??” Sergah pemuda bergaya itu.

“Saya tak sengajalah!” Kata Alysha. Dia memandang pemuda yang sedang mencekak pinggang itu. Sungguh berlagak gayanya.

            “Kau tahu tak berapa kos yang aku kena tanggung kalau kereta aku ni rosak? Kau ingat murah ke??” Kata-katanya membuatkan Alysha mendengus.

“Kalau saya mati pulak, awak ingat nyawa saya boleh diganti-ganti ke? Pandulah berhati-hati! Tengok kiri kanan!” Alysha sengaja berlagak seolah-olah bukan dia yang bersalah. Zarieq menghampiri Alysha, membuatkan gadis itu cuak.

            “Siapa nama kau?” Soal pemuda tersebut. Alysha enggan menjawabnya. Zarieq mendekatkan wajahnya dengan wajah gadis berkenaan. Cuba memandang wajah yang tersembunyi di sebalik cermin mata itu. Berona merah wajah gadis itu. Dia cuba memberanikan diri berhadapan dengan situasi itu. Matanya tepat memandang ke arah anak mata Zarieq. Mereka saling berpandangan, cuba melepaskan amarah melalui pandangan masing-masing.

            “Zarieq!” Panggil seseorang. Terkejut kedua-dua anak muda yang sedang marah itu. Zarieq segera menjauhi Alysha. Pemuda itu menoleh kebelakang. Kelihatan salah seorang sahabat baiknya menghampiri.

“Shah. Kau rupanya. Ada apa?” Soal Zarieq kepada pemuda yang bernama Shah Aweera. Pemuda tersebut tersenyum. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam poketnya. Sebuah telefon bimbit.

“Blackberry ni kau nak sedekah dekat orang lain ke?” Soal Shah. Zarieq meraba poket jeansnya. Ternyata rupanya telefon bimbit itu tercicir. Dia tersengih.

            “Thank, bro. Nasib baik kau jumpa,” Zarieq mencapai telefon bimbit yang dihulurkan oleh Shah. Dia menepuk bahu Shah. Terbit rasa lega apabila mengenangkan dia hampir kehilangan alat yang paling penting buatnya. Shah memandang keadaan sekeliling. Dia menyoal Zarieq mengapa pemuda itu memberhentikan kereta di tengah-tengah kawasan parkir. Zarieq baru teringat! Pemuda itu memandang sekelilingnya. Gadis yang hampir dilanggarnya itu sudah lesap tanpa pengetahuannya. Sungguh licik!

            Cis. Terlepas lagi kau. Baru aje aku nak ajar kau cukup-cukup. Erghh!

“Kau okey ke?” Shah menyoal apabila wajah Zarieq mulai kelihatan beremosi. Pemuda kacak itu menggeleng. Dia masih tidak berpuas hati dengan gadis lincah itu. Tiap kali gadis itu dapat melepaskan diri!
“Jom keluar minum. Kau nampaknya stress sepanjang hari ni. Chill lah!” Shah memeluk bahu sahabatnya yang dilanda api kemarahan. Zarieq mengeluh.

            “Akak dah balik!” Alysha segera mencabut kasutnya dan berlari menuju bilik. Dia sudah terlewat untuk ke tempat kerja. Adik-adiknya yang berada di dalam bilik terpinga-pinga melihat kakak mereka itu.
“Kenapa ni akak?” Soal adik perempuannya. Alysha menanggalkan cermin mata dan melepaskan ikatan rambutnya. Dia mencapai sehelai pakaian berwarna merah lalu menyarungkan ke tubuhnya. Gadis itu duduk di hadapan cermin dan mengenakan celak di matanya.

            “Akak dah lambat ni. Kan akak nak kena pergi kerja. Adik-adik akak semua dah makan?” Soal Alysha kepada adik kembarnya yang bernama Amylia dan Arissa. Kanak-kanak berusia lapan tahun itu segera mengangguk. Alysha menyoal mengenai adik lelakinya, Ashraff yang tidak kelihatan.

“Abang Ashraff pergi main bola dekat sekolah, akak. Akak tak nak makan dulu ke sebelum pergi kerja?”Soal Arissa yang manja. Alysha segera menggeleng.

            “Tak sempat. Siapa masak?” Soal anak kedua daripada lima beradik itu.

“Ibu,”Jawab Arissa lagi. Alysha segera menuju ke arah adik perempuannya itu. Dia mengusap kepala Amylia dan Arissa. Dia berpesan kepada adik-adiknya supaya menjaga diri dan tidak berkelakuan nakal. Ibunya tidak sihat baru-baru ini jadi dia berharap agar adik-adiknya boleh menjaga wanita tersebut sewaktu dia sedang bekerja. Adik-adiknya bersalaman dengan gadis itu sebelum masing-masing mencium pipi kakak kesayangan mereka itu.

            “Nanti akak balik akak belikan makanan kegemaran Amy dan Rissa okey? Akak pergi dulu. Adik akak tolong tengok-tengokkan ibu ya?” Alysha bergegas keluar dan menghampiri ibunya yang berada di ruang tamu. Dia mencium tangan ibunya itu sebelum keluar bekerja. Gadis berusia lapan belas tahun itu memberikan salam sebelum dia beredar. Sebelum pukul lima dia seharusnya sudah berada di tempat kerja. Gadis itu menghidupkan enjin skuternya sebelum dia memecut kenderaan dua roda itu.

Mintak-mintaklah aku sempat sampai!

            Syed Zarieq Deazry sampai di perkarangan rumahnya tepat pukul lima suku petang. Pemuda tersebut memberhentikan kereta di garaj. Fikirannya masih kusut mengenangkan peristiwa pertembungan dia dan gadis yang berkaca mata itu.  Pemuda itu melangkah perlahan menuju pintu utama kediaman mewah milk bapanya. Semasa dalam perjalanan masuk, dia ternampak sebuah BMW 280E berwarna hitam pekat. Siapa gerangan empunya kenderaan itu?

            Pemuda itu masuk ke dalam rumah setelah pintu utama dibukakan oleh orang gaji. Dia mengusir rambutnya. Terasa bosan hidup di dalam rumah besar yang tidak mempunyai banyak penghuni itu. Pemuda itu melangkah masuk ke bahagian dapur dan mulai mengintai apa yang ada di dalam peti sejuk.

            “Tuan muda lapar ke? Saya dah hidangkan makanan untuk tuan muda di atas meja makan. Silalah makan,” Ujar salah seorang tukang masak di kediaman tersebut. Zarieq tidak mengendahkan kata-kata tukang masak itu dan berterusan melihat apa yang berada di dalam peti sejuk berkenaan. Pemuda itu mengambil sebiji epal dan sekotak susu. Kemudian, pemuda itu melangkah, mahu masuk ke dalam kamar tidurnya.

            “Tuan, nanti datin marah saya kalau tuan tak makan,” Tukang masak itu menegur Zarieq lagi. Zarieq berhenti melangkah. Dia memandang wanita yang berusia lingkungan 30-an itu.

“Kata pada datin awak tu, anak lelaki dia ni tak mahu makan. Dah kenyang. Understood?” Zarieq tersenyum sinis kepada wanita itu sebelum dia beredar. Pemuda itu menggigit epal merah di tangannya itu. Sewaktu pemuda itu melintasi kawasan ruang tamu, tiba-tiba namanya dipanggil.

            “Zarieq..!” Suara Datin Julia kedengaran, memanggil namanya. Syed Zarieq Deazry memandang kelibat yang berada di sofa mewah kesayangan ibunya. Kelihatan wanita tersebut mempunyai seorang tetamu. Seorang gadis yang bergaya. Kelihatannya seperti anak patung hidup, jelita. Zarieq tidak berganjak dari tempatnya berdiri dan hanya memandang mereka, sambil menunggu apakah yang akan diperkatakan oleh wanita tersebut.

0 comments:

myfreecopyright.com registered & protected
Transparent Green Star